Mutakhir ini telah berlangsung Mesyuarat Jawatankuasa Antarabangsa ISO/TC 210/WG 7 (Good Engineering Maintenance Management) kali ke-21 secara atas talian pada 29 Julai 2022 dan telah dihadiri wakil-wakil delegasi daripada pelbagai negara. Mesyuarat ini telah membincangkan dan memuktamadkan draf kerja (Working Draft) ke peringkat draf jawatankuasa (Committee Draft) bagi pembangunan standard antarabangsa berkenaan Medical Equipment Maintenance Program for Healthcare Delivery Organizations (ISO 5137), dimana ianya merupakan salah 1 daripada 5 projek aktif di bawah jawatankuasa antarabangsa ISO/TC 210 (Quality Management and Corresponding General Aspects for Medical Devices).

Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) selaku wakil Malaysia, terlibat secara langsung dan aktif bagi pembangunan standard antarabangsa di bawah ISO/TC 210 dalam usaha menyeragamkan keperluan kualiti dan keselamatan peranti perubatan di peringkat antarabangsa. Malaysia juga turut diberi kepercayaan dalam pembangunan projek di bawah ISO/TC 210/WG 7 di mana Puan Salbiah Yaakop, Pengarah Bahagian Dasar, Hubungan Antarabangsa dan Fasilitasi Industri, MDA telah dilantik selaku Pengerusi bagi Jawatankuasa Standard Antarabangsa ini.

Dalam masa yang sama, René Drost, Bahagian Vigilan dan Pascapasaran, Teknologi Penjagaan Kesihatan NAMCO dalam satu kenyataannya melalui akaun LinkedIn mengucapkan ribuan terima kasih kepada Puan Salbiah Yaakop atas inisiatif beliau dalam pengurusan jawatankuasa dan pembangunan standard antarabangsa tersebut. Pengerusi ISO/TC 210/WG 7 dalam satu kenyataan balasnya mengatakan bahawa mereka telah berjaya melangkah ke peringkat seterusnya dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada ahli jawatankuasa ISO/TC 210/WG 7 dalam proses pembangunan standard antarabangsa ini.

 

BERITA PUAN SALBIAH