Putrajaya - Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), YBrs. Dr. Muralitharan Paramasua telah mengadakan satu kunjungan hormat terhadap Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), YBhg. Datuk Azman bin Mohd Yusof bertempat di Pejabat KPDN, Putrajaya.

Kunjungan hormat tersebut adalah bagi mengeratkan hubungan kerjasama di antara MDA dan KPDN dalam menangani isu-isu peranti perubatan yang dihadapi oleh kedua-dua belah pihak. KPDN dan MDA telah berbincang mengenai peranti perubatan palsu, peranti perubatan yang melepasi tarikh luput yang masih berada di display shelf dan di jual di farmasi serta skop kawalan berkaitan produk estetik dan kosmetik. Perbincangan mengenai perkara ini amat penting memandangkan MDA menerima banyak aduan berkenaan isu tersebut sejak kebelakangan ini.

Selain itu, MDA dan KPDN juga telah berbincang mengenai kaedah untuk membanteras penjualan peranti perubatan palsu dan telah tamat tempoh ini. Kedua-dua agensi kerajaan telah bersetuju untuk meningkatkan pengawasan dan pemantauan dengan melakukan pemeriksaan bersepadu terhadap premis-premis yang menjual peranti perubatan. Pihak MDA dan KPDN juga telah bersetuju untuk berkongsi maklumat mengenai peranti perubatan yang berada di pasaran tanpa pendaftaran serta establishment yang menjual peranti perubatan tanpa lesen.

Kedua-dua agensi juga bersetuju untuk menjalankan latihan bagi memantapkan penguatkuasaan disamping berkongsi sumber yang sedia ada seperti penggunaan makmal KPDN untuk pengujian peranti perubatan.

Di kesempatan ini, MDA ingin mengingatkan kepada semua pihak yang ingin memasarkan peranti perubatan di Malaysia agar mendapatkan lesen establismen serta mendaftarkan peranti perubatan mereka sebelum dipasarkan di pasaran. Kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan denda sehingga RM300,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Orang awam juga digalakkan untuk menyemak status pendaftaran peranti perubatan melalui laman sesawang mdar.mda.gov.my. Sebarang aduan berkaitan peranti perubatan tidak berdaftar boleh disalurkan kepada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan, KKM melalui Sistem Pengurusan Maklumbalas MDA (MDAFEMES) di alamat femes.mda.gov.my agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan peranti perubatan yang tidak berdaftar di pasaran.

 

 

 123

456