31 Julai 2023 - Mesyuarat Dua Hala antara MDA, Malaysia dan SFDA, Arab Saudi telah diadakan secara dalam talian dan dihadiri oleh pegawai-pegawai pihak berkuasa peranti perubatan dari negara masing-masing. Delegasi Malaysia dari MDA diketuai oleh Puan Salbiah Bt Yaakop dan turut hadir adalah pegawai dari Unit Hubungan Antarabangsa, Bahagian Dasar, Hubungan Industri dan Antarabangsa. Manakala delegasi Arab Saudi dari SFDA diketuai oleh Encik Nasser Al Aboudi, Pengarah Eksekutif Kesihatan Radiologi dan turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan SFDA.

Mesyuarat ini diadakan bertujuan untuk membincangkan bidang kerjasama yang akan dilaksanakan melalui MOU yang sedang dibangunkan. Kerjasama ini adalah penting bagi merapatkan hubungan kedua-dua negara dalam mengawalselia peranti perubatan sekaligus untuk memastikan jurang perdagangan dapat dikurangkan dalam membantu pihak pemegang taruh dapat memasarkan peranti perubatan dengan lebih mudah.

Melalui mesyuarat ini, pihak SFDA telah memberikan reaksi yang positif ke arah pelaksanaan MOU. Strategi pelaksanaan dan skop kerjasama di antara kedua-dua pihak telah dibincangkan melalui mesyuarat ini, seterusnya diharap kerjasama ini dapat dilaksanakan dengan jayanya dan dapat dimanfaatkan oleh kedua-dua negara. - Muhammad Marwan, MDA