CYBERJAYA, 19 Ogos 2024 — Majlis Pelancaran Sistem Chatbot Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) telah berlangsung pada hari ini di Bilik Seminar 1, Aras G, MDA, Cyberjaya dengan kehadiran Anggota MDA, Pegawai-Pegawai Pengurusan Tertinggi MDA, Wakil Persatuan Peranti Perubatan dan Warga MDA. Pelancaran Sistem Chatbot MDA telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Andy Lee Kuan Min Anggota MDA dan disaksikan oleh YBrs. Dr. Muralitharan Paramasua, Ketua Eksekutif MDA dan Encik Salman bin Sha’ri, Ketua Unit ICT, MDA.

Pelaksanaan Sistem Chatbot MDA ini merupakan satu lagi usaha dalam merealisasikan misi Kerajaan Digital, khususnya dalam transformasi perkhidmatan tradisional kepada perkhidmatan digital. Sebelum ini, MDA bergantung sepenuhnya kepada kaedah konvensional iaitu perkhidmatan kaunter khidmat pelanggan secara bersemuka. Namun, dengan perkembangan teknologi Artificial Intelligence (AI), MDA kini memperkenalkan Sistem Chatbot sebagai alternatif perkhidmatan pelanggan secara maya. Sistem ini menawarkan dua fungsi utama: Chatbot MDA dan Live Chat.

 

Fungsi pertama, Chatbot MDA, menggunakan teknologi AI untuk berinteraksi secara dua hala dengan pelanggan. Chatbot ini telah diprogramkan untuk menjawab soalan-soalan lazim yang sering diajukan kepada MDA. Ia bertujuan untuk meningkatkan mutu penyampaian maklumat dengan memberikan maklum balas yang cepat dan mudah diakses.

Fungsi kedua, Live Chat, pula membolehkan pelanggan berhubung dengan pegawai khidmat pelanggan MDA secara maya. Pelanggan kini tidak perlu hadir ke pejabat pada waktu pejabat yang ditetapkan, sebaliknya boleh berkomunikasi secara maya bersama pegawai khidmat pelanggan MDA. Ini merupakan langkah transformasi digital MDA dalam menyediakan alternatif perkhidmatan yang lebih fleksibel kepada para pelanggannya.


Pelancaran Sistem Chatbot ini adalah sebahagian daripada inisiatif MDA dalam pelaksanaan Pelan Strategik Pendigitalan MDA yang sejajar dengan Pelan Strategik Pendigitalan KKM, dan Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam. Dengan adanya sistem ini, MDA berharap agar kualiti perkhidmatan yang melibatkan komunikasi dengan para pelanggan dapat dipertingkat, memberi maklumat yang tepat, dan meningkatkan produktiviti dalam perkhidmatan kawal selia peranti perubatan di Malaysia.

 

Dalam ucapan perasmian, penghargaan turut diberikan kepada semua pegawai MDA yang telah bekerja keras untuk memastikan kejayaan projek ini. Diharapkan, dengan penggunaan Sistem Chatbot ini, MDA akan terus cemerlang dalam memberikan perkhidmatan kepada pelanggan di peringkat nasional dan antarabangsa. Para pelanggan boleh mengakses Sistem Chatbot ini melalui Portal Rasmi MDA iaitu www.mda.gov.my.