7 Mac 2022 – Baru-baru ini, MDA dengan kerjasama Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melakukan satu pemeriksaan bersepadu yang berkaitan dengan penjualan peranti perubatan di 8 buah premis sekitar Alor Setar, Kedah. Seramai 5 orang pegawai KPDNHEP manakalah 4 orang pegawai daripada MDA turut terlibat dalam siri pemeriksaan tersebut. Antara peranti perubatan yang diperiksa adalah Kit Ujian Kendiri Covid-19, Kanta Lekap, Pengimbas Suhu dan Oximeter.

Hasil daripada pemeriksaan tersebut mendapati bahawa terdapat 4 premis yang tidak patuh dengan menjual peranti perubatan yang tidak berdaftar dengan MDA, manakala selebihnya patuh dengan arahan yang telah ditetapkan.  Untuk Kit Ujian Kendiri Covid-19, setiap nombor lot yang terdapat pada kotak kit ujian kendiri, perlu mendapatkan kelulusan terlebih dahulu sebelum diletakkan di pasaran, namun terdapat beberapa premis yang menjual Kit Ujian Kendiri Covid-19 dengan nombor lot yang masih tidak mendapat kelulusan daripada MDA.

Pemeriksaan secara bersepadu akan giat dilaksanakan ke seluruh Malaysia bagi memastikan peranti perubatan yang dijual adalah yang berdaftar dengan MDA. Oleh itu, orang awam dinasihatkan agar membeli peranti perubatan yang berdaftar dengan MDA sahaja. Hal ini bagi memastikan peranti perubatan tersebut selamat untuk digunakan dan tidak menjejaskan kesihatan. Untuk menyemak peranti perubatan yang berdaftar seperti Kit Ujian Kendiri Covid-19, orang awam boleh melayari portal mdar.mda.gov.my

IMG20220307132623IMG20220307123746IMG20220307123433IMG20220307114822IMG20220307114127IMG20220307113129IMG20220307112119IMG20220307105027