PENGUMUMAN: STATUS PENDAFTARAN MEDCERT MALAYSIA SDN. BHD. SEBAGAI BADAN PENILAIAN PEMATUHAN (CAB) DI BAWAH AKTA 737

PENGUMUMAN:
STATUS PENDAFTARAN MEDCERT MALAYSIA SDN. BHD. SEBAGAI BADAN PENILAIAN PEMATUHAN (CAB) DI BAWAH AKTA 737
TARIKH PENGUMUMAN: 7 NOVEMBER 2025
Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) ingin memaklumkan bahawa MEDCERT MALAYSIA SDN. BHD. (MMSB) iaitu sebuah Badan Penilaian Pematuhan (CAB) yang berdaftar di bawah Akta Peranti Perubatan 2012 [Akta 737] dengan nombor pendaftaran MDA/CAB-002, kini sedang melalui proses Penggulungan Sukarela oleh Ahli.
Dimaklumkan bahawa Pelikuidasi-Pelikuidasi Bersesama dan Berasingan bagi MMSB mengesahkan bahawa MMSB telah menamatkan operasi berkuat kuasa mulai tarikh 29 Ogos 2025. Sehubungan itu, semua aktiviti regulatori termasuk perkhidmatan penilaian pematuhan yang dijalankan oleh MMSB adalah diberhentikan sepenuhnya.
Berikut adalah perincian berkaitan;
1. Tempoh Sah Pendaftaran CAB
Pendaftaran MMSB sebagai CAB (MDA/CAB-002) adalah tamat pada 20 November 2025. Namun demikian, MMSB tidak lagi dibenarkan menjalankan sebarang aktiviti penilaian pematuhan di bawah Akta 737 memandangkan MMSB telah menghentikan operasi dan sedang melalui proses penggulungan sukarela. Pendaftaran MMSB tidak akan diperbaharui selepas tamat tempoh berkenaan.
2. Kesan kepada Pemegang Sijil
Semua establismen yang mendapatkan sijil dan laporan yang dikeluarkan oleh MMSB hendaklah memindahkan pensijilan mereka kepada mana-mana CAB lain yang berdaftar dengan MDA bagi memastikan pematuhan berterusan terhadap Akta 737 dan peraturan-peraturan dibawahnya. Establismen dinasihatkan supaya memulakan proses pemindahan dengan segera bagi mengelakkan sebarang kesulitan terhadap pematuhan Akta 737.
3. Nasihat kepada Pihak Berkepentingan
Semua establismen hendaklah memastikan bahawa pensijilan mereka masih sah dan dikeluarkan oleh CAB yang aktif di bawah Akta 737. MDA akan menerima sijil dan laporan yang dikeluarkan oleh MMSB sebelum tarikh penghentian operasi iaitu 28 Ogos 2025 sehingga tarikh tamat sijil atau kelulusan berkenaan.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Unit Pendaftaran Badan Penilaian Pematuhan (CABRU) melalui emel di [email protected] atau telefon di talian +603-8230 0352/ 0374 / 0394 / 0238.
Dikeluarkan oleh:
CABRU
Bahagian Kawalan Pra-Pasaran (BKPP)
Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA)
Dimuatnaik oleh: Bahagian Komunikasi Korporat
Tarikh : 7/11/2025
