PERTANDINGAN PIDATO PERANTI PERUBATAN SEMARAKKAN PROGRAM KESEDARAN AWAM 2025
CYBERJAYA, 7 Oktober 2025 – Program Kesedaran Awam Peranti Perubatan 2025 anjuran Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) dengan kerjasama University of Cyberjaya (UoC) telah dimeriahkan dengan Pertandingan Pidato Peranti Perubatan yang melibatkan penyertaan daripada enam buah universiti dan empat buah sekolah menengah sekitar Selangor dan Putrajaya. Pertandingan ini diadakan bagi memupuk kesedaran generasi muda tentang kepentingan penggunaan peranti perubatan yang berdaftar serta mempertingkat kemahiran komunikasi awam dalam menyampaikan mesej kesihatan kepada masyarakat.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YB Dato’ Lukanisman bin Awang Sauni, Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia. Bagi kategori universiti, Muhammad Faris Fiqran bin Muhamad dari Multimedia University (MMU) dinobatkan sebagai Johan, diikuti Muhammad Faizal bin Ishak dari Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) sebagai Naib Johan, Muhammad Hanif bin Naim dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di tempat ketiga, dan Ku Muhammad Hamdi Irfan bin Ku Hasnan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) di tempat keempat.
Sementara itu, bagi kategori sekolah, Maira Delisha binti Mohd Masniman dari Sekolah Agama Menengah Tengku Ampuan Jemaah, Klang muncul sebagai Johan, diikuti Nur Aleena binti Muhammad Idham dari Maahad Integrasi Tahfiz Selangor Klang (MITS Klang) sebagai Naib Johan, Nur Hana Izzaty binti Mohd Azmin dari SMK Dengkil di tempat ketiga, dan Salahuddin Iman bin Hafizuddin dari MITS Klang di tempat keempat.
Pemenang membawa pulang hadiah wang tunai, trofi dan sijil penyertaan yang disumbangkan oleh Medical Device Authority Club (MeDAC) dengan sokongan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai rakan strategik MDA. Pertandingan ini menjadi antara acara tumpuan dalam program yang dihadiri lebih 140 peserta dan berlangsung meriah di Grand Hall, University of Cyberjaya.
Disediakan oleh : Bahagian Komunikasi Korporat
Tarikh muatnaik : 10 Oktober 2025