PUTRAJAYA, 05 OGOS 2024 – Sesi perbincangan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) bersama Yang Berhormat Menteri Kesihatan Malaysia (YBMK), YB Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly Ahmad telah berlangsung di Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Putrajaya. Sesi tersebut turut dihadiri oleh Ketua Eksekutif, YBrs. Dr. Muralitharan Paramasua bersama ahli-ahli Anggota MDA, Pegawai MDA  dan juga wakil dari KKM.

 

Objektif sesi perbincangan yang diadakan adalah menyatakan pelaporan pencapaian dan prestasi MDA bagi sepanjang tempoh 6 bulan pada tahun 2024 yang merangkumi aspek perundangan, kewangan, jalinan hubungan antarabangsa dan agensi serta kemudahan perkhidmatan kepada syarikat peranti perubatan. Ia juga adalah salah satu inisiatif baharu MDA untuk memaklumkan status terkini Badan Berkanun kepada Menteri yang bertanggungjawab bagi mengukuhkan tatakelola MDA. YB Menteri Kesihatan berpuas hati dengan tatakelola MDA dan menyambut baik sesi perbincangan ini. Beliau turut menghargai pencapaian prestasi MDA yang memberikan impak tinggi terhadap sumbangan ekonomi serta penguatkuasaan yang menjaga kualiti peranti perubatan selaras dengan pembangunan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

 

 

Pada tahun ini, MDA akan menganjurkan International Medical Device Exhibition & Conference (IMDEC) 2024 pada 9 hingga 12 Disember 2024 bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) yang merupakan penganjuran acara berperingkat antarabangsa dengan menghimpunkan syarikat-syarikat peranti perubatan dari seluruh negara dan terbuka kepada orang awam untuk mengenali peranti perubatan yang diiktiraf dan selamat digunakan.