20 Ogos 2024 – Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) telah menerima kunjungan daripada Institute for Medical Research (IMR) yang diketuai oleh Dr Ami Fazlin Syed Mohamed, Pengarah IMR bersama 6 orang pegawai yang lain.


Tujuan kunjungan ini adalah untuk meningkatkan kerjasama antara IMR dan MDA dalam bidang penyelidikan dan pembangunan peranti perubatan serta mendalami kaedah pengawalseliaan dan peraturan yang dilaksanakan oleh MDA dalam penghasilan produk diagnostik kesihatan.


Perbincangan ini dipengerusikan oleh Ketua Eksekutif MDA dan turut dihadiri 8 orang pegawai yang terdiri daripada Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, Bahagian Kawalan Pra Pasaran, Bahagian Hubungan Antarabangsa dan Industri serta Unit Kewangan.


Pihak MDA telah memberikan sedikit penerangan berkenaan kawalan regulatori peranti perubatan di Malaysia serta keperluan pendaftaran peranti perubatan In-vitro Diagnostic kepada pihak IMR. Kedua-dua pihak turut menjalankan perbincangan antara dua hala bagi mendalami peranan agensi masing-masing dan berkongsi pandangan dalam memahami keperluan regulatori peranti perubatan di bawah Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737).


Seterusnya, kedua-dua pihak bersetuju agar MDA memberikan penerangan lebih lanjut berkaitan keperluan berkaitan di bawah Akta 737 kepada pihak IMR pada tarikh yang akan ditetapkan nanti.


Kunjungan seperti ini adalah penting bagi MDA dalam memberi kesedaran terhadap keperluan perundangan peranti perubatan di Malaysia dan seterusnya dapat memastikan kepatuhan pihak berkepentingan terhadap keperluan Akta 737.