CYBERJAYA, 27 OGOS 2025 – Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) telah mengadakan satu sesi taklimat bersama Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sebagai usaha memperkukuh kefahaman serta menjalin kerjasama strategik dalam aspek penguatkuasaan undang-undang.

 

Taklimat ini telah dipengerusikan oleh Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan MDA, Encik Mohd Zul Hirsham bin Junaidi, dan diadakan di Ibu Pejabat MDA, Cyberjaya. Delegasi EAIC yang hadir diketuai oleh Puan Jasmee Hameeza binti Jaafar, Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, bersama beberapa pegawai kanan daripada bahagian operasi, perundangan serta pentadbiran.

 

Sepanjang sesi taklimat, MDA telah memberikan penerangan menyeluruh mengenai peranan utama agensi tersebut di bawah Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737), yang merangkumi aspek pendaftaran peranti perubatan, pelesenan establismen, kawalan pasca pasaran, kawalan iklan, penguatkuasaan undang-undang serta pemantauan pematuhan terhadap standard keselamatan dan kualiti. Selain itu, turut dibentangkan ialah tanggungjawab penguatkuasaan yang dijalankan oleh MDA serta cabaran-cabaran yang dihadapi dalam melaksanakan fungsi tersebut.

 

Pihak EAIC pula turut berkongsi mengenai bidang kuasa dan tanggungjawab agensi tersebut, di samping menyuarakan pandangan berkaitan isu integriti dalam pelaksanaan tugas penguatkuasaan.

 

Kerjasama strategik antara MDA dan EAIC ini diharapkan dapat meningkatkan keberkesanan serta tahap integriti dalam penguatkuasaan undang-undang, khususnya dalam menangani isu peranti perubatan tidak berdaftar yang berleluasa di pasaran fizikal mahupun dalam talian.

 

Sesi taklimat ini turut menzahirkan komitmen berterusan MDA dalam memastikan keselamatan, keberkesanan dan kualiti peranti perubatan demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat Malaysia.

 

IMAGE_1

 

IMAGE_2

 

IMAGE_3

 

 

Dimuatnaik oleh : Bahagian Komunikasi Korporat

Disediakan oleh : Bahagian Penguatkuasaan (BP)

Tarikh Muatnaik : 2 September 2025