KEMERIAHAN PROGRAM KESEDARAN AWAM PERANTI PERUBATAN 2025 DI UNIVERSITY OF CYBERJAYA (UoC)
CYBERJAYA, 7 Oktober 2025 – Program Kesedaran Awam Peranti Perubatan anjuran Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) dengan kerjasama University of Cyberjaya (UoC) telah berlangsung dengan penuh meriah di Grand Hall, UoC. Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penggunaan peranti perubatan yang berdaftar dan selamat digunakan.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Dato Lukanisman bin Awang Sauni, Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan bahawa kesedaran awam terhadap keselamatan dan kualiti peranti perubatan amat penting dalam memastikan kesejahteraan rakyat serta memperkukuh sistem penjagaan kesihatan negara.
Ucapan alu-aluan disampaikan oleh YBrs. Dr. Muralitharan Paramasua, Ketua Eksekutif MDA, yang menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, khususnya Medical Device Authority Club (MeDAC) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai rakan strategik MDA, serta pihak University of Cyberjaya (UoC) atas sokongan dan kerjasama erat dalam penganjuran program ini.
Turut hadir memeriahkan majlis adalah pihak pengurusan tertinggi MDA iaitu Encik Muhd Radhuan bin Abdul Halim, Pengarah Bahagian Pascapasaran MDA, Encik Mohd Zul Hirsham bin Junaidi, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan MDA, Encik Mohamad Faiz bin Mohamad Mashudi, Pengarah Bahagian Keurusetiaan, Puan Noor Arifah binti Abdul Latif serta pengurusan tertinggi UoC iaitu Professor Dr. David Whitford, Vice Chancellor, dan Mr. Kalaiarasu Malayandi, Group Chief Commercial Officer.
Program ini telah menarik penyertaan seramai 140 orang peserta yang terdiri daripada wakil sektor awam dan swasta, pelajar universiti awam dan swasta, serta pelajar sekolah sekitar Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya. Selain sesi ceramah dan perkongsian maklumat, program turut dimeriahkan dengan enam pameran kesihatan yang melibatkan pelbagai agensi dan organisasi berkaitan, serta sembilan reruai jualan makanan dan minuman yang menambah suasana ceria sepanjang program berlangsung.
Secara keseluruhannya, Program Kesedaran Awam Peranti Perubatan 2025 berjaya mencapai objektifnya dalam menyampaikan mesej penting mengenai kepentingan penggunaan peranti perubatan yang selamat dan berdaftar, di samping memperkukuh hubungan strategik antara agensi kerajaan, institusi pendidikan, dan masyarakat umum.
Disediakan oleh : Bahagian Komunikasi Korporat
Tarikh muatnaik : 10 Oktober 2025