IMG_0066_copy

 

CYBERJAYA, 10 Oktober 2025 – Pihak DRB-HICOM telah mengadakan kunjungan rasmi ke Pejabat Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) bagi mendapatkan maklumat awal berhubung keperluan regulatori dalam sektor peranti perubatan, sebagai persediaan sebelum melaksanakan aktiviti pembuatan peranti perubatan.

Dalam sesi tersebut, DRB-HICOM telah membentangkan cadangan penglibatan syarikat dalam pembangunan dan pembuatan peranti perubatan, serta memaklumkan mengenai aktiviti pengedaran peranti perubatan di Malaysia yang dijalankan melalui syarikat lantikan mereka.

Ketua Eksekutif MDA telah mengalu-alukan kunjungan rasmi tersebut dan memberikan pandangan berkaitan keperluan regulatori dan pematuhan, bagi memastikan sebarang perancangan masa hadapan DRB-HICOM selaras dengan piawaian keselamatan dan kualiti yang ditetapkan di bawah Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737).

Turut hadir semasa pertemuan tersebut ialah Puan Aidahwaty M. Olaybal, Pengarah Bahagian Kawalan Pra Pasaran, dan Puan Norshafina Sahinin, Penolong Pengarah Kanan, Unit Pembangunan Industri, Bahagian Hubungan Antarabangsa dan Industri.

Pertemuan ini membuka ruang kerjasama strategik antara pihak syarikat ini dan agensi kawal selia, selaras dengan usaha negara untuk memperkukuh ekosistem peranti perubatan tempatan dan menggalakkan kepelbagaian dalam sektor berteknologi tinggi di Malaysia.

 

IMG_00677

 

 

 

 

Disediakan oleh : Bahagian Hubungan Antarabangsa dan Industri (BHAI)

Dimuatnaik oleh : Bahagian Komunikasi Korporat

Tarikh Muatnaik : 13 Oktober 2025